Sunday, August 4, 2019

9.0 LAMPIRAN




Surat Al-Baqarah Ayat 191

 وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ ۚ وَلَا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّىٰ يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ ۖ فَإِنْ قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ ۗ كَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ


Arab-Latin: Waqtulụhum ḥaiṡu ṡaqiftumụhum wa akhrijụhum min ḥaiṡu akhrajụkum wal-fitnatu asyaddu minal-qatl, wa lā tuqātilụhum 'indal-masjidil-ḥarāmi ḥattā yuqātilụkum fīh, fa ing qātalụkum faqtulụhum, każālika jazā`ul-kāfirīn
 Terjemah Arti: Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka telah mengusir kamu (Mekah); dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu. Jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. Demikanlah balasan bagi orang-orang kafir.
















8.0 RUJUKAN

1)  http://fitnahdep5a.blogspot.com/2016/10/kesan-fitnah.html

2)  https://tafsirweb.com/707-surat-al-baqarah-ayat-191.html

8)  http://persepsimuslimah.blogspot.com/2018/02/jenis-jenis-fitnah.html?m=1

9)   https://ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang

10)

     (Marzuki Sepiaail, Rina Fakhrizan Mohd Sukri dan Alias Mat Saat, 2016) 
     Oxford Fajar.Sdn.Bhd. , Selangor Darul Ehsan.
     Komunikasi dan Penyiaran dalam Islam

7.0 KESIMPULAN


Konklusinya, Fitnah merupakan satu jenayah yang berlaku sama ada di alam nyata mahupun di alam siber. Dengan adanya medium perinteraksian seperti media sosial seperti ini, tidak mustahil seseorang boleh menyatakan kepada seseorang yang lain sesuatu yang tidak benar atau sebagainya dan seterusnya menjadi satu fitnah.

Budaya menyebarkan fitnah melalui media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya telah menjadi satu kebiasaan dan semakin popular dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Malah ianya turut menjadi satu kewajipan bagi sesetengah individu yang suka menyebarkan berita palsu dan panas. Tanpa disedari, masalah ini telah memberi kesan yang negatif dalam kalangan masyarakat dan mendatangkan keburukan kepada pelbagai pihak. Ramai pembaca dari kalangan masyarakat yang mengamalkan konsep setiap apa yang disiarkan dianggap betul dan tepat tanpa meragui kesahihannya. Hal ini amatlah berbahaya kerana mereka gemar mempercayainya bulat-bulat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.

Oleh hal demikian, setiap negara di dunia mempunyai pendirian dan langkah-langkah yang tertentu bagi menangani masalah jenayah siber ini. Begitu juga di Malaysia, kerajaan telah mengambil langkah-langkah tersendiri bagi menangani perluasan fitnah yang sedang berlaku dalam internet atau laman sosial. Ada di antara rakyat Malaysia yang sering mempersoalkan kebebasan-kebebasan yang mereka fikir wajar mereka perolehi supaya idea dan akal fikiran boleh diluahkan tanpa rasa bersalah. Walaupun kerajaan bersifat terbuka, ia tidak seharusnya disalahgunakan sehingga mendatangkan kekecohan atau kecederaan kepada pihak lain. Rakyat perlu sedar bahawa mereka masih lagi tertakluk kepada undang-undang yang telah ditetapkan. Bak kata pepatah melayu “dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung”.

Namun begitu, fitnah juga dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran dan juga sabda-sabda Nabi Muhammad S.A.W. sebagai satu perkara yang amat berbahaya kepada umat Islam khususnya. Siksaan yang dijanjikan Allah terhadap golongan yang memfitnah adalah sangat berat dan mereka tidak akan terlepas dengan mudah lebih-lebih lagi di akhirat. Islam juga telah menggariskan beberapa panduan yang khusus bagi memastikan umatnya tidak keliru dengan kebebasan bersuara yang dianjurkan sehingga boleh mengakibatkan fitnah. Seperti yang dijelaskan pada awal perbincangan, fitnah itu merupakan satu tindakan yang boleh mendatangkan siksa dan bencana kepada golongan yang difitnah itu sendiri. Islam juga tidak menghadkan fitnah itu hanya sekadar perkataan yang keluar dari mulut sahaja tetapi tafsirannya sangat luas dan penekanan diberikan kepada ‘perkataan’, tidak kira medium apa yang digunakan untuk mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah itu. Lalu, hukuman yang sama terhadap pemfitnah boleh dikenakan kepada pemfitnah siber juga.
Selain itu, individu juga harus sedar bahawa kebijaksanaan dalam menggunakan Internet semasa memberikan pendapat dan buah fikiran adalah amat penting. Biarpun Internet berupaya menjadi penghubung dan medium dalam penyampaian sesuatu pengetahuan dan maklumat, rakyat perlu peka dengan perkara-perkara sensitive yang perlu dipelihara agar keharmonian sejagat dapat dikekalkan.

Oleh itu, setiap pihak perlulah bekerjasama dan berganding bahu untuk membanteras atau menbendung masalah fitnah yang semakin berleluasa ini supaya tidak mendatangkan keburukan pada masa akan datang.


6.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI FITNAH


Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun di sebalik itu, kita acapkali tersentak oleh palbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri . Antara permasalahan yang sering berlaku di negara kita adalah perleluasaan fitnah yang berlaku dalam internet atau media sosial. Isu perleluasaan fitnah yang kian menular di kalangan masyarakat kita ini perlu diatasi dengan kadar yang segera oleh kerana impaknya terhadap individu, masyarakat dan negara amatlah besar sehingga mampu meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan mahupun institusi agama. Oleh hal demikian , langkah-langkah yang bijak harus diambil oleh pihak-pihak yang terlibat, terutamanya pihak kerajaan bagi membendung dan mengatasi budaya fitnah yang kian menular ini. Bak kata pepatah melayu “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” yang bermaksud setiap yang berkemahuan tentu ada jalan.

            Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi fitnah yang berlaku dalam media sosial ialah pihak yang terlibat memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan etika penulisan yang sebenar. Jika dilihat, masyarakat kini lebih cenderung untuk sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran tanpa memikirkan implikasi yang timbul akibat penulisan tersebut. Hal ini terjadi kerana mereka tidak tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan atau undang-undang berkenaan penulisan itu sendiri. Dalam hal ini, media massa dan elektronik akan memainkan peranan yang cukup besar dalam menyebarkan prosedur sebenar penulisan yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan sahaja berkaitan isu sensitif seperti berkenaan agama dan politik malahan penggunaan bahasa yang sesuai dalam penulisan.

            Langkah seterusnya ialah isu fitnah dapat diatasi dengan mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua data-data, fail atau laman-laman sesawang didaftarkan sebelum boleh dilayari. Hal ini bagi memudahkan sebarang maklumat tidak sah atau tidak benar dikesan dan sekaligus disekat, seterusnya membolehkan seseorang lebih berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu tulisan mereka kerana dikhuatiri, jika penulisan tersebut mengandungi unsur fitnah, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan sewajarnya agar mereka sedar dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama di lain hari dan berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara bak kata pepatah melayu “berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat”.

            Di samping itu, langkah lain yang boleh diambil untuk membendung dan mengatasi masalah ini, pihak kerajaan hendaklah mewujudkan sebuah badan khas yang akan menyelenggera atau menapis segala paparan di media sosial. Hal ini kerana, media sosial telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka, bebas dan pantas berbanding media cetak. Apatah lagi apabila konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri telah membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat samada sahih atau tidak. Jika badan ini diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya disiarkan dapat dihalang dari tersiar, seterusnya mampu mengatasi masalah fitnah ini.

Akhir sekali, pihak kerajaan wajiblah menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan. Hal ini kerana penting bagi mengatasi perleluasaan fitnah yang kian menular di media sosial. Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman berat kepada pengfitnah malahan mampu menakutkan semua orang agar tidak sewenang-wenangnya berkata, menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak sahih memandangkan impaknya amatlah besar kepada pelbagai pihak bak kata pepatah, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.




5.0 KESAN-KESAN FITNAH




5.1 KESAN-KESAN TERHADAP INDIVIDU


Fitnah bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah S.W.T bahkan juga membawa kesan buruk kepada individu mahupun masyarakat.

Antara kesan fitnah ialah menimbulkan keburukan dan mengaibkan seseorang. Nama baik dan air muka seseorang individu boleh tercemar atau tercalar apabila wujud fitnah yang dilemparkan terhadapnya yang mana boleh mengaibkan dirinya.

Hal ini lantas boleh menyebabkan wujud rasa kebencian dan permusuhan terhadap mangsa fitnah tersebut. Dengan ini, individu itu bukan sahaja akan berdepan dengan cercaan dan pandangan serong terhadapnya malah reputasi dan kredibilitinya juga akan dipertikai. Antara impaknya ialah tercetusnya masalah rumah tangga sehingga mengakibatkan perceraian akibat cerita buruk melalui fitnah yang disebar. Selain itu, fitnah juga boleh menjejaskan periuk nasi mangsa dan pekerjaan atau sumber rezeki individu berkenaan.

Fitnah secara tidak langsung juga boleh menyebabkan sesorang mangsa mengalami tekanan emosi dan masalah psikologi apabila timbul stigma, pandangan negatif dan prejudis terhadapnya.

Tanpa iman dan semangat yang kuat dan kental, seseorang itu akan dicengkam dengan rasa sedih dan murung yang melampau hingga melarikan atau menyepikan diri dari masyarakat. Dalam keadaan yang lebih teruk, mangsa mungkin mengalami agorafobia, iaitu sejenis masalah apabila penghidapnya mengalami rasa takut untuk berada di tempat awam atau tempat terbuka.
Bukan itu sahaja, fitnah ialah satu perkara yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan. Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan permusuhan, pertelagahan serta hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat. Apabila ukhuwah serta semangat persaudaraan luntur maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan kemanisan hidup bermasyarakat.



5.2 KESAN TERHADAP NEGARA


 Fitnah mampu mengancam keselamatan negara apabila nama negara terjejas. Anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan negara dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan.
Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah.

Di samping kesan buruk fitnah terhadap institusi sosial, fitnah juga boleh menjatuhkan ekonomi negara. Kesannya ialah mewujudkan sentimen anti sesebuah negara serta membentuk persepsi palsu dan negatif. Hal ini mampu memberikan impak kepada sektor ekonomi sesuatu negara.

Keburukan dan persepsi negatif ini boleh menakutkan pelabur dan peniaga asing untuk melabur di sesebuah ngara itu akibat. Selain itu, fitnah juga akan menempias industri pelancongan sesuatu negara. Bukan itu sahaja, hal ini malah boleh membawa kepada pemboikotan produk atau barangan dari sesebuah negara itu. Akibatnya, ekonomi negara akan menjadi lumpuh.
Fitnah merupakan perbuatan yang dipandang hina oleh mana-mana agama kerana impak buruknya. Justeru, langkah untuk menangani atau membendung masalah ini perlu dipandang serius dan dilaksanakan.

4.0 PUNCA-PUNCA FITNAH

4.1 BENTUK TINDAKAN FITNAH


   i.            Fitnah Jenayah

Tindakan di bawah Kanun Jenayah (Penal Code) Seksyen 499-502
·         Secara amnya, melibatkan fitnah terhadap pegawai kerajaan dalam kapasiti rasminya atau seseorang yang mungkin boleh menjejaskan ketenteraman awam.
·         Jika sabit kesalahan, penjara sehingga 2 tahun dan/atau denda.

Tindakan di bawah Akta Hasutan 1948 (Sedition Act 1948)
·         Hasutan dalam bentuk penerbitan yang menyebabkan kebencian atau mewujudkan kekacauan terhadap pemerintah atau kerajaan.
·         Menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan kerajaan.
·         Menimbulkan perasaan benci di kalangan kaum di Malaysia.
·         Jika sabit dengan kesalahan, denda tidak melebihi RM 5,000.00 dan atau penjara sehingga 3 tahun bagi kesalahan pertama dan untuk kesalahan seterusnya, penjara tidak melebihi 5 tahun.
·         Tindakan hanya boleh dimulakan oleh kerajaan melalui Peguam Negara dan tidak melalui individu.


      ii.            Fitnah Sivil

Tindakan di bawah Akta Fitnah 1957 (Defamation Act)
·         Tindakan dimulakan atas kapasiti persendirian.
·         Plaintif dalam kes memohon penghakiman dan ganti rugi.

Pihak yang terlibat
·         Plaintif mempunyai hak untuk menentukan defendan dalam kesnya.
·         Selalunya, dalam kes libel, pihak yang terlibat ialah penulis, editor, penerbit, pencetak, dan kadangkala penjual bahan bercetak tersebut.
·         Dalam kes yang melibatkan teknologi maklumat (IT) seperti e-mel, system pesanan ringkas (SMS) dan lain-lain, orang yang bertanggungjawab ialah penulis, penyebar dan pembekal maklumat tersebut.

Bentuk Ganti Rugi dan Penghakiman
·         Ganti Rugi Khas – perkara ini perlu dibuktikan secara khusus oleh plaintif bahawa kerugian tersebut ditanggung. Butir-butir ganti rugi mesti diberikan.
·         Ganti Rugi Am – Mahkamah selalunya memutuskan perkara ini berdasarkan fakta kes.
·         Ganti Rugi Teladan (Exemplary Damages) – harus dituntut secara khusus dan mahkamah hanya membenarkannya sekiranya mahu menghukum defendan.
·         Ganti Rugi Teruk (Aggravated Damages) – hanya dibenarkan jika kes fitnah tersebut amat serius.
·         Sekatan/halangan (Injunction) – ini bertujuan menghalang penerbitan atau pencetakan diteruskan pada masa akan datang.
·         Memohon Maaf Secara Terbuka – selalunya dalam kes libel, plaintif menuntut agar defendan memohon maaf dengan cara pengiklanan.




4.2  CONTOH FITNAH DI MALAYSIA


Antara fitnah di Malaysia adalah dari segi politik, perkauman, skandal, dan lain-lain.
Faktor ini menyebabkan kerosakkan akhlak dan buruk sangka terhadap individu mahupun perkauman. Contoh contoh fitnah di keratan akhbar dan laman sosial.














3.0 JENIS-JENIS FITNAH DAN UNDANG-UNDANG SIVIL

3.1 JENIS-JENIS FITNAH


      Jenis-jenis fitnah dalam Islam

    1) Fitnah shubhat
       -Syubhat bererti samar-samar atau tidak jelas. Dalam fitnah syubhat, seseorang menjadi rosak ilmu dan keyakinannya sehingga menjadikan perkara ma’ruf menjadi samar dengan kemungkaran, sementara kemungkaran sendiri tidak ia hindari (dikerjakan). Fitnah syubhat merupakan fitnah paling berbahaya kerana kurangnya ilmu dan lemahnya bashirah, ketika diiringi dengan niat buruk dan hawa nafsu maka timbullah fitnah besar dan keji.  Contoh-contoh fitnah syubhat ialah kekafiran, kemunafikan, dan bid’ah penyebab perpecahan.

    2)  Fitnah syahwat

         -Fitnah syahwat merupakan perbuatan yang dapat melemahkan dan mengikis iman seseorang disebabkan oleh hawa nafsu.  Mereka yang terkena fitnah syahwat biasanya malas untuk beribadah serta tidak segan melanggar perintah Allah dan mengerjakan apa yang dilarang. Hal ini disebabkan oleh hawa nafsu beserta dan hasutan dari iblis yang sentiasa mengiringi dan membuat iman semakin lemah.
Umumnya, fitnah syahwat adalah segala sesuatu yang berhubungan dengan dunia, kesenangan, dan yang membangkitkan hawa nafsu.

Jenis-jenis fitnah dari segi undang-undang sivil

       1) Libel

           -Libel adalah sebarang penerbitan yang kekal yang ditujukan kepada mata. Fitnah tersebut dalam bentuk kekal seperti fitnah dalam bentuk penulisan, lukisan, gambar-gambar, patung-patung, bahan-bahan bercetak dan sebarang contoh yang melibatkan deria penglihatan.
   
        2) Slander

            -Slander adalah fitnah dalam bentuk sementara dan lazimnya merujuk kepada fitnah dalam bentuk lisan seperti percakapan mahupun perbualan. Fitnah dalam bentuk slander dikatakan melibatkan deria pendengaran. Namun begitu bukan semua yang didengar itu adalah slander memandangkan dalam Akta Fitnah 1957, siaran radio dianggap sebagai fitnah berbentuk kekal atau libel.



3.2  AKTA UNDANG-UNDANG FITNAH



Di dalam Akta Fitnah 1957, fitnah telah diklasifikasikan kepada dua bahagian :

     1) Libel.

 Sebarang penerbitan yang kekal yang ditujukan kepada mata. Kefitnahan juga boleh tergolong sebagai fitnah jenayah atau fitnah sivil. Fitnah jenayah diambil tindakan di bawah Kanun Kesiksaan (Akta 574) dan fitnah sivil diambil tindakan di bawah Akta Kefitnahan 1957 (Safar, 2002).

     2) Slander.

 Fitnah ini berbentuk percakapan dan ia adalah jenis fitnah yang tidak kekal dan ditujukan kepada telinga. Di Malaysia slander boleh dianggap sebagai satu jenayah di bawah Seksyen 499 Kanun Jenayah. Terdapat peruntukkan khas di mana terdapat jenis-jenis fitnah tidak perlu dibuktikan seperti fitnah terhadap wanita (Seksyen 4 Akta Fitnah), slander berkaitan reputasi rasmi, professional atau pemiagaan dan slander hak milik.

3.3 UNDANG-UNDANG BERKAITAN KESALAHAN MEDIA SIBER

2.0 DEFINISI





Fitnah dalam bahasa Arab memberi erti bencana, ujian dan cubaan. Dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani iaitu perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, fitnah pula didefinisikan sebagai tuduhan, khabarm kisah dan lain-lain yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Fitnah secara umumnya  merupakan satu bentuk komunikasi kepada satu pihak atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain, ia berdasarkan atas fakta palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, obses, atau menjatuhkan dan/atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu pihak.

Dalam Al-Quran, kata fitnah disebutkan pada 34 tempat dan digunakan untuk erti atau makna yang berbeza. Kitab-kitab hadis juga pada umumnya memasukkan bab tertentu tentang fitnah. Sebagai contoh, Kitab Sahih Al-Bukhari ada memasukkan 78 hadis tentang fitnah. Makna fitnah dalam Al-Quran ialah:

1. Fitnah yang membawa maksud syirik.
Firman Allah:
              “Syirik lebih dasyat dosanya daripada membunuh.” (Ayat 191:Surah Al-Baqarah)

2. Fitnah yang membawa maksud ujian dan cubaan.
Firman Allah:
              "Dan sesungguhnya kami telah menguji ummat yang terdahulu."(Ayat 3:Surah Al-Ankabut)

3. Fitnah yang membawa maksud seksa.      
Firman Allah:
                “Rasakanlah azabmu ini. Inilah azab yang dahulu kamu minta agar disegerakan.”(Ayat 14:Surah Az-Zariat)

4. Fitnah yang membawa maksud dosa.    
Firman Allah:
                 "Dan sebahagian mereka ada yang berkata "izinkanlah aku untuk tidak berperang dan janganlah menyebabkan aku berbuat dosa. Ketahuilah mereka yang telah terjebak dalam dosa (dengan tidak mahu pergi berperang)."(Ayat 49:Surah At-Taubah)

5. Fitnah yang membawa maksud kekufuran.     
Firman Allah:
                 "Sesungguhnya mereka inginkan kekufuran."(Ayat 48:Surah At-Taubah)

6. Fitnah yang membawa maksud pembunuhan dan kebinasaan.     
Firman Allah:
                 "Sekiranya kamu takut orang-orang Kafir membunuh kamu."(Ayat 101:Surah An-Nisa)

7. Fitnah yang membawa maksud berpaling dari jalan yang benar.     
Firman Allah:
                 "Dan berwaspadalah dari mereka yang hendak memesongkan kamu dari jalan kebenaran."( Ayat 49:Surah Maidah)

8. Fitnah yang membawa maksud sesat.     
Firman Allah:
                 "Dan sesiapa yang Allah hendak menyesatkannya."(Ayat 41:Surah Al-Maidah)

9. Fitnah yang membawa maksud alasan.     
Firman Allah:
                 "Kemudian tidaklah ada alasan mereka melainkan mereka berkata "Demi Allah wahai tuhan kami, kami bukannya orang-orang musyrikin."(Ayat 23:Surah Al-An'am)


                  Jika diperhatikan, semua gambaran Al-Quran di atas adalah kesan buruk dari fitnah. Banyak kesan buruk yang akan terjadi akibat fitnah yang tercetus. 





1.0 PENGENALAN




Pada masa kini, isu fitnah bukan sahaja berbentuk percakapan antara dua pihak namun juga dalam bentuk penulisan. Misalnya, dalam komunikasi massa terutamanya dalam blog juga turut wujudnya fitnah. Fitnah juga merupakan satu perbuatan yang terkutuk dan sangat dicela oleh mana-mana agama. Firman Allah yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpa sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.
                                                                                                            (Surah al-Hujurat, ayat 6)


Firman ini memberi gambaran bahawa setiap kata-kata yang disampaikan perlu diteliti dan diselidik terlebih dahulu agar kebenarannya dapat dipastikan dan khabar tersebut tidak mengandungi unsur fitnah. Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk yang akan menimpa seseorang individu atau ahli masyarakat. Rasulullah S.A.W juga bersabda. Maksudya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa fitnah merupakan dosa yang sangat besar dan berat sehingga tidak dapat memasuki syurga. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan dengan keras perbuatan fitnah. Hal ini kerana kesan fitnah adalah sangat buruk hingga boleh memudaratkan seseorang individu, keluarga, masyarakat dan Negara.


Oleh itu, perlulah ada undang-undang agar masyarakat dapat mendapat keadilan dan dapat hidup dengan harmoni dalam kehidupan sejagat. Undang-undang (Tulisan Jawi: اوندڠ-اوندڠ; Bahasa Inggeris: Law) dalam politik dan perundangan, merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesuatu negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain. Kadangkala, undang-undang juga dibuat oleh sekumpulan orang yang berfikiran sama.

Undang-undang secara lazimnya ditadbir oleh suatu sistem mahkamah dimana hakim (kadangkala dengan bantuan juri atau lay magistrate) mendengar pertikaian diantara pihak, dan mengaplikasi satu set peraturan untuk memastikan satu keputusan yang adil. Cara dimana undang-undang ditadbir dipanggil sistem perundangan, yang lazimnya berkembang mengikut adat-adat sendiri sesebuah negara.

Kebanyakan negara mengharapkan polis untuk menguatkuasakan undang-undang. Pegawai polis lazimnya harus terlatih dalam penguatkuasaan undang-undang sebelum mereka dibenarkan melakukan sesuatu dibawah warna undang-undang, untuk mengeluarkan amaran berbentuk undang-undang dan petikan, untuk mengarahkan satu pencarian atau apa-apa lagi waran membuat penangkapan.

Pengamal undang-undang lazimnya mesti mendapat latihan secara professional dalam undang-undang sebelum mereka dibenarkan mewakili satu pihak dalam satu mahkamah undang-undang, merangka dokumen undang-undang, atau memberi bantuan guaman.

ISI KANDUNGAN



1.0
PENGENALAN
2.0
DEFINISI
3.0
JENIS-JENIS FITNAH DAN UNDANG-UNDANG SIVIL
3.1
JENIS-JENIS FITNAH
3.2
UNDANG-UNDANG FITNAH

3.3
UNDANG-UNDANG BERKAITAN KESALAHAN MEDIA SIBER
4.0
PUNCA-PUNCA FITNAH
4.1
BENTUK TINDAKAN FITNAH
4.2
CONTOH FITNAH DI MALAYSIA
5.0
KESAN-KESAN FITNAH
5.1
KESAN TERHADAP INDIVIDU
5.2
KESAN TERHADAP N EGARA
6.0
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI FITNAH
7.0
KESIMPULAN
8.0
RUJUKAN
9.0
LAMPIRAN