Konklusinya, Fitnah merupakan satu jenayah
yang berlaku sama ada di alam nyata mahupun di alam siber. Dengan adanya medium
perinteraksian seperti media sosial seperti ini, tidak mustahil seseorang boleh
menyatakan kepada seseorang yang lain sesuatu yang tidak benar atau sebagainya
dan seterusnya menjadi satu fitnah.
Budaya menyebarkan fitnah melalui media
sosial seperti Whatsapp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya telah
menjadi satu kebiasaan dan semakin popular dalam kalangan masyarakat kita hari
ini. Malah ianya turut menjadi satu kewajipan bagi sesetengah individu yang
suka menyebarkan berita palsu dan panas. Tanpa disedari, masalah ini telah
memberi kesan yang negatif dalam kalangan masyarakat dan mendatangkan keburukan
kepada pelbagai pihak. Ramai pembaca dari kalangan masyarakat yang mengamalkan
konsep setiap apa yang disiarkan dianggap betul dan tepat tanpa meragui
kesahihannya. Hal ini amatlah berbahaya kerana mereka gemar mempercayainya
bulat-bulat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.
Oleh hal demikian, setiap negara di dunia
mempunyai pendirian dan langkah-langkah yang tertentu bagi menangani masalah
jenayah siber ini. Begitu juga di Malaysia, kerajaan telah mengambil
langkah-langkah tersendiri bagi menangani perluasan fitnah yang sedang berlaku
dalam internet atau laman sosial. Ada di antara rakyat Malaysia yang sering
mempersoalkan kebebasan-kebebasan yang mereka fikir wajar mereka perolehi
supaya idea dan akal fikiran boleh diluahkan tanpa rasa bersalah. Walaupun
kerajaan bersifat terbuka, ia tidak seharusnya disalahgunakan sehingga
mendatangkan kekecohan atau kecederaan kepada pihak lain. Rakyat perlu sedar
bahawa mereka masih lagi tertakluk kepada undang-undang yang telah ditetapkan.
Bak kata pepatah melayu “dimana bumi
dipijak, disitu langit dijunjung”.
Namun begitu, fitnah juga dinyatakan
dengan jelas dalam Al-Quran dan juga sabda-sabda Nabi Muhammad S.A.W. sebagai
satu perkara yang amat berbahaya kepada umat Islam khususnya. Siksaan yang
dijanjikan Allah terhadap golongan yang memfitnah adalah sangat berat dan
mereka tidak akan terlepas dengan mudah lebih-lebih lagi di akhirat. Islam juga
telah menggariskan beberapa panduan yang khusus bagi memastikan umatnya tidak
keliru dengan kebebasan bersuara yang dianjurkan sehingga boleh mengakibatkan
fitnah. Seperti yang dijelaskan pada awal perbincangan, fitnah itu merupakan
satu tindakan yang boleh mendatangkan siksa dan bencana kepada golongan yang
difitnah itu sendiri. Islam juga tidak menghadkan fitnah itu hanya sekadar
perkataan yang keluar dari mulut sahaja tetapi tafsirannya sangat luas dan
penekanan diberikan kepada ‘perkataan’, tidak kira medium apa yang digunakan
untuk mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah itu. Lalu, hukuman yang sama
terhadap pemfitnah boleh dikenakan kepada pemfitnah siber juga.
Selain itu, individu juga harus sedar
bahawa kebijaksanaan dalam menggunakan Internet semasa memberikan pendapat dan
buah fikiran adalah amat penting. Biarpun Internet berupaya menjadi penghubung
dan medium dalam penyampaian sesuatu pengetahuan dan maklumat, rakyat perlu
peka dengan perkara-perkara sensitive yang perlu dipelihara agar keharmonian
sejagat dapat dikekalkan.
Oleh itu, setiap pihak perlulah
bekerjasama dan berganding bahu untuk membanteras atau menbendung masalah
fitnah yang semakin berleluasa ini supaya tidak mendatangkan keburukan pada
masa akan datang.
No comments:
Post a Comment